Wednesday, July 11, 2007

When I first read about the articles on "helping the bumiputra in shopping centre" from the news paper. The first thing come to my mind is, "Is it true that only the bumiprutra in KLCC need help?". Does it mean that the chinese and indians are doing well even if the rental is high? Isn't the rental in any commercial space is much dependent on the theory of the demand and supply? Would subsidising the rental helps to achieve the objective of NEP?

I'm really interested to find out how our government is going to respond to such a call for help.
Bantu Melayu berniaga di pusat membeli-belah

SEJAUH mana penglibatan orang Melayu membuka premis perniagaan di pusat membeli-belah di Malaysia memang masih perlu diberi perhatian, dorongan dan tindakan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Apa yang diutarakan sebelum ini oleh pembaca budiman memang ada kebenarannya namun pandangan dan lontaran pendapat yang bernas dan berkesan adalah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk merealisasikan apa jua yang diperjuangkan.
Dalam perkara ini bukan sahaja berlaku di KLCC malahan di mana-mana pusat membeli-belah dalam negara didapati kurangnya penyertaan orang Melayu mempunyai premis perniagaan di bangunan tersebut.
Kita ada beberapa lagi pusat membeli-belah khususnya di Lembah Klang yang dimiliki oleh agensi kerajaan seperti UDA, anak syarikat kerajaan negeri serta pihak swasta.
Namun dengan kadar sewaan yang terlalu tinggi dengan syarat-syarat yang terlalu ketat maka usahawan Melayu tidak berminat malahan tidak bertahan lama untuk berniaga di sesebuah pusat membeli-belah.
Isu kadar sewa yang tinggi adalah merujuk kepada nilaian pasaran harta semasa, tetapi dalam perkara ini produk usahawan Melayu khususnya yang berkaitan industri makanan tidak sama harganya dengan produk luar negara seperti McDonald’s, KFC dan lain-lain lagi.
Maka oleh yang demikian satu pendekatan harus dirangka dan seterusnya diambil tindakan oleh pihak kerajaan dan pemimpin dari kalangan ahli persatuan politik UMNO.
Di pihak kerajaan melalui setiap pihak berkuasa tempatan yang berkuasa memberi kelulusan premis perniagaan di sesebuah kawasan boleh membantu dengan mengenakan syarat peratusan penyertaan orang Melayu berniaga.
Peranan pihak MeCD, Mara, UDA dan agensi kerajaan negeri juga tidak kurang pentingnya dengan membeli premis-premis perniagaan yang berprestij dan mempunyai lokasi yang strategik untuk disewakan semula kepada usahawan Melayu dengan kadar sewa lebih rendah melalui subsidi dana yang disediakan.
Kita maklum perkara ini memang sudah dilaksanakan tetapi ia perlu dilipatgandakan jika kita mahu melihat penyertaan usahawan Melayu bertambah.
Pemilihan usahawan dan produk yang hendak dijual juga perlu dinilai dengan teliti agar peluang yang ada diberi kepada mereka yang layak dan boleh berkembang maju.





Dengan penubuhan Gabem baru-baru ini maka diharapkan badan ini boleh mengambil peranan berkenaan isu tersebut kerana ia juga adalah soal ‘ketirisan’ peluang usahawan Melayu dalam sektor perniagaan.
Apa jua perbahasan sama ada dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga di kalangan ahli Dewan/Persatuan Perniagaan Melayu perlu diambil ‘tindakan’ dan bukannya hanya sekadar ‘didengar’ sahaja.
Agenda kita dalam meningkatkan peratusan orang Melayu dalam penyertaan ekuiti ekonomi perniagaan seperti yang dirancang dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak akan tercapai jika tiada ‘kesedaran’ di semua pihak.
Diharap di semua peringkat supaya marilah bersama-sama melaksanakannya dan sudah puas untuk kita berkata-kata kekadang dengan nada yang tinggi namun sudah tiba masanya untuk kurang bercakap tetapi kita buat kerja untuk merealisasikannya.
– HISHAM SES,
Dataran Usahawan Selangor,
Shah Alam.

Source: Forum from Utusan Malaysia online

Peniaga bumiputera di KLCC makin tertekan
Oleh WAN SYAMSUL WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kira-kira 12 peniaga bumiputera di Suria KLCC kini semakin tertekan apabila pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal itu menaikkan sewa tapak lebih 50 peratus setiap tiga tahun.
Selain itu, peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah oleh pihak pengurusan.
Pemilik premis Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah ketika dihubungi berkata, banyak tekanan diberikan oleh pihak pengurusan Suria KLCC yang bertujuan untuk mengusir mereka.
‘‘Mereka (Suria KLCC) memberi tekanan hebat dari segi kenaikan sewa yang tinggi dari tahun ke tahun serta arahan untuk mengubah konsep kedai.
‘‘Bebanan terutamanya dari segi kewangan terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh peniaga bumiputera yang menyewa premis di KLCC,’’ katanya.
Jelasnya, peningkatan kadar sewa sebanyak kira-kira RM15,000 setiap tiga tahun jelas menekan peniaga bumiputera di pusat beli-belah itu.
‘‘Bayangkan dari sewa sebanyak RM14,000 sebulan enam tahun lalu kini telah meningkat menjadi RM43,000 sebulan.
‘‘Apa yang jelas, sebuah restoran Korea khabarnya akan menggantikan tempat ini seandainya saya ‘mengalah’ dan berpindah keluar dari Suria KLCC,’’ ujarnya.
Juhaidi berkata, dia bercadang untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Bertindak Peniaga Bumiputera KLCC bagi membela nasib peniaga bumiputera yang masih bertahan di situ.
‘‘Saya berharap pihak tertentu yang bertanggungjawab tidak terlalu leka sehingga nasib peniaga bumiputera semakin tertindas dan lenyap dari bangunan milik kita sendiri,’’ jelasnya.
Dia juga kesal kerana pertemuannya dengan pihak pengurusan tertinggi Petronas untuk membincangkan perkara tersebut tidak mendatangkan sesuatu yang positif.
‘‘Sayangnya, aduan daripada seorang peniaga bumiputera yang bermasalah hanya dipandang mudah dan diserahkan kepada pengurus Suria KLCC yang bukan berasal dari negara ini untuk menyelesaikannya,’’ ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan tindakan pihak pengurusan pusat beli-belah Suria KLCC yang menaikkan kadar sewa sehingga 50 peratus sehingga membebankan pemilik premis bumiputera di kompleks tersebut.
Keadaan itu juga kini menyebabkan sebahagian besar peniaga bumiputera terpaksa menghentikan operasi mereka kerana tidak mampu untuk menanggung kos sewa yang terlampau tinggi.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kebanyakan peniaga bumiputera yang masih berniaga di situ takut untuk mengadu masalah yang dihadapi kepada pihak yang berkaitan.
Ini kerana mereka tidak mahu ‘periuk nasi’ terjejas ekoran setiap aduan yang dikemukakan menyebabkan pihak pengurusan pusat beli belah mencari alasan untuk memindahkan premis mereka ke lokasi baru yang didakwa tidak strategik.
Sementara itu, pihak pengurusan KLCC yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Source:Utusan Malaysia Online 11 July 2007

KLCC: Kementerian perlu masuk campur
KUALA LUMPUR 10 Julai – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertindak segera membantu peniaga Melayu di Suria KLCC yang dikatakan berdepan dengan pelbagai tekanan dan kemungkinan gulung tikar.
Presiden Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, pihaknya mendapat tahu perkara itu kini dalam pemerhatian kementerian berkenaan.
Justeru katanya, pihak kementerian perlu bertindak segera termasuk kemungkinan mengadakan rundingan dengan pengurusan Suria KLCC.
‘‘Bagi Gabem, tindakan pengurusan Suria KLCC yang dikatakan menekan peniaga Melayu sehingga kemungkinan mereka gulung tikar, tidak boleh diterima,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas isu peniaga Melayu di Suria KLCC yang dikatakan berdepan tekanan daripada pihak pengurusan, termasuk kadar sewa yang terlalu tinggi.
Isu tersebut turut mendapat perhatian pembaca yang menyuarakan pandangan mereka dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini, dengan rata-rata meminta peniaga Melayu terus diberi peluang berniaga di premis tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihak pengurusan Suria KLCC tidak sepatutnya mendiskriminasikan peniaga Melayu dan mereka perlu lebih bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau meminta peniaga Melayu terbabit menyerahkan memorandum kepada pihaknya dengan memberikan justifikasi tepat tentang masalah yang mereka hadapi.
‘‘Memorandum itu bagi membolehkan Gabem mendapat gambaran sebenar tentang masalah mereka sebelum boleh mengajukannya kepada pucuk pimpinan negara,’’ katanya.

Source: Utusan Malaysia Online 11 July 2007