UKM tempat 31 universiti terbaik dunia
KUALA LUMPUR 30 Mei - Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-31 carta universiti terbaik dunia
mengikut Quacquarelli Symonds (QS) QS-World University Ranking 2012/2013.
Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr.
Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pengiktirafan QS iaitu syarikat
penarafan berpangkalan di London itu adalah bagi kategori universiti berusia
bawah 50 tahun.
"Pengiktirafan itu menjadikan
UKM satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam kelompok universiti
terbaik daripada beribu-ribu universiti di dunia.
"Sebagai universiti yang masih
muda, UKM membuktikan kecemerlangan dalam saingan dengan universiti dari
Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan banyak lagi," katanya
kepada pemberita selepas perasmian Sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan UKM, di
sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor
UKM. Turut mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku
Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Sharifah Hapsah berkata, penilaian
QS itu dibuat berdasarkan pencapaian dan kriteria seperti penyelidikan,
penerbitan, populasi tenaga pengajar dan pelajar.
"UKM sudah mencapai pelbagai
kemajuan termasuk menjadi universiti yang melahirkan pakar perubatan paling
ramai di negara ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap
kerajaan akan terus membantu usaha meningkatkan kewibawaan UKM sebagai
universiti disegani.
"Hasrat kita selepas ini adalah
untuk berada di dalam senarai 10 universiti terbaik," katanya.
Sejak penubuhannya, Fakulti
Perubatan UKM telah melahirkan 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam
pelbagai bidang serta 94 doktor falsafah.