Wednesday, July 11, 2007

Bantu Melayu berniaga di pusat membeli-belah

SEJAUH mana penglibatan orang Melayu membuka premis perniagaan di pusat membeli-belah di Malaysia memang masih perlu diberi perhatian, dorongan dan tindakan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Apa yang diutarakan sebelum ini oleh pembaca budiman memang ada kebenarannya namun pandangan dan lontaran pendapat yang bernas dan berkesan adalah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk merealisasikan apa jua yang diperjuangkan.
Dalam perkara ini bukan sahaja berlaku di KLCC malahan di mana-mana pusat membeli-belah dalam negara didapati kurangnya penyertaan orang Melayu mempunyai premis perniagaan di bangunan tersebut.
Kita ada beberapa lagi pusat membeli-belah khususnya di Lembah Klang yang dimiliki oleh agensi kerajaan seperti UDA, anak syarikat kerajaan negeri serta pihak swasta.
Namun dengan kadar sewaan yang terlalu tinggi dengan syarat-syarat yang terlalu ketat maka usahawan Melayu tidak berminat malahan tidak bertahan lama untuk berniaga di sesebuah pusat membeli-belah.
Isu kadar sewa yang tinggi adalah merujuk kepada nilaian pasaran harta semasa, tetapi dalam perkara ini produk usahawan Melayu khususnya yang berkaitan industri makanan tidak sama harganya dengan produk luar negara seperti McDonald’s, KFC dan lain-lain lagi.
Maka oleh yang demikian satu pendekatan harus dirangka dan seterusnya diambil tindakan oleh pihak kerajaan dan pemimpin dari kalangan ahli persatuan politik UMNO.
Di pihak kerajaan melalui setiap pihak berkuasa tempatan yang berkuasa memberi kelulusan premis perniagaan di sesebuah kawasan boleh membantu dengan mengenakan syarat peratusan penyertaan orang Melayu berniaga.
Peranan pihak MeCD, Mara, UDA dan agensi kerajaan negeri juga tidak kurang pentingnya dengan membeli premis-premis perniagaan yang berprestij dan mempunyai lokasi yang strategik untuk disewakan semula kepada usahawan Melayu dengan kadar sewa lebih rendah melalui subsidi dana yang disediakan.
Kita maklum perkara ini memang sudah dilaksanakan tetapi ia perlu dilipatgandakan jika kita mahu melihat penyertaan usahawan Melayu bertambah.
Pemilihan usahawan dan produk yang hendak dijual juga perlu dinilai dengan teliti agar peluang yang ada diberi kepada mereka yang layak dan boleh berkembang maju.





Dengan penubuhan Gabem baru-baru ini maka diharapkan badan ini boleh mengambil peranan berkenaan isu tersebut kerana ia juga adalah soal ‘ketirisan’ peluang usahawan Melayu dalam sektor perniagaan.
Apa jua perbahasan sama ada dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga di kalangan ahli Dewan/Persatuan Perniagaan Melayu perlu diambil ‘tindakan’ dan bukannya hanya sekadar ‘didengar’ sahaja.
Agenda kita dalam meningkatkan peratusan orang Melayu dalam penyertaan ekuiti ekonomi perniagaan seperti yang dirancang dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak akan tercapai jika tiada ‘kesedaran’ di semua pihak.
Diharap di semua peringkat supaya marilah bersama-sama melaksanakannya dan sudah puas untuk kita berkata-kata kekadang dengan nada yang tinggi namun sudah tiba masanya untuk kurang bercakap tetapi kita buat kerja untuk merealisasikannya.
– HISHAM SES,
Dataran Usahawan Selangor,
Shah Alam.

Source: Forum from Utusan Malaysia online

2 comments:

Anonymous said...

Saya ingin bertanya, apa tindakan yang boleh diambil sekiranya pihak pusat membeli belah mengenakan kadar sewa yang tidak adil kepada penyewanya walaupun tapak kedai pernigaan penyewa kedua-duanya adalah sama? seperti pengurus pusat membeli belah nie memilih bulu..jika kawan dia atau org yg dia suka sewa rendah, jika bukan kawan dia atau org dia tak suka sewa tinggi?? apa yg boleh dibuat?

Charlie said...

Minta maaf! Saya bukan seorang peguam dan tidak fasih dengan undang-undang perniagaan. Justeru itu, tidak dapat memberi nasihat yang tepat.

Pada pandangan saya, pilih kasih memang berlaku dimana mana bidang pun! Kalau pengurus pusat membeli-belah itu sanggup merendahkan sewa semata-mata untuk memberi faedah pada orang yang dia suka, dia ini bukanlah seorang pengurus yang baik dan perbuatan dia itu tidak menmanfaatkan syarikat berkenaan. Kalau pengurus itu bukanlah seorang pemegang saham syarikat itu, mungkin kamu boleh cuba melaporkan kes ini pada lembaga pemegang saham syarikat itu. Sekian.